Beliau turut menekankan bahawa pelbagai kuasa pertengahan dan rantau lain yang sejajar dengan Selatan Global menyeru kepada satu orde dunia baharu, sambil menegaskan bahawa penyelesaian isu ASEAN mestilah merupakan usaha bersama seluruh ASEAN.
"Penyelesaian semua ini memerlukan konsensus semua negara anggota. Negara yang lebih kukuh dari segi ekonomi dan mempunyai pengaruh politik global yang lebih besar juga perlu memainkan peranan dalam menangani isu-isu ini.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 boleh memimpin, tetapi tanggungjawab ini harus dipikul bersama, walaupun mencapai konsensus mungkin suatu tugas yang rumit," katanya dalam ucaptama semasa Majlis Makan Tengah Hari pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) ke-54 di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj serta Editor Eksekutif (menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang) Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak.
Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Agung OANA Zaman Rezakhan.
Malaysia, menerusi Bernama, menjadi tuan rumah Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) OANA ke-54 selama empat hari bermula Ahad (16 Feb).
Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa perkara ini akan menjadi faktor penentu bagaimana Malaysia mengemudi kepengerusiannya.
"Sejujurnya, ASEAN tidak pernah berhadapan dengan landskap yang lebih mencabar. Dengan mengharungi isu-isu sukar ini pada 2025, Malaysia boleh menetapkan semula semangat ASEAN yang lebih kukuh untuk tahun-tahun mendatang."
Beliau juga berkata, tahun 2025 menandakan permulaan Visi ASEAN 3.0 dengan objektif utama merangka pelan strategik bagi Visi Komuniti ASEAN 2045 ke arah ASEAN yang lebih bersepadu dan padu.
"Kita mahu memastikan ASEAN terus relevan, makmur dan lestari. Yang tidak kurang pentingnya, kita juga mahu rakyat - populasi 680 juta ASEAN - menjadi pusat kepada pembangunan mampan kita," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)