ZANJAN (Iran): Malaysia terus memperkukuh komitmen untuk mempererat kerjasama dua hala dengan Wilayah Zanjan di Iran, dengan menumpukan pada keutamaan bersama dalam bidang perdagangan, pelancongan, pendidikan, dan hubungan perbandaran.

Komitmen ini ditekankan semasa kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar ke atas Gabenor Zanjan Seyed Mohsen Sadeghi, di luar sambutan Hari Zaitun Kebangsaan dan Dunia kedua, acara penting yang mengetengahkan peranan utama Zanjan dalam pengeluaran zaitun di Iran.

Kedua-dua pihak menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara Zanjan dan Malaysia.

Dalam perbincangan itu, cadangan untuk menjalin hubungan bandar kembar antara Zanjan dan sebuah bandar di Malaysia disambut baik oleh Gabenor Sadeghi, yang menyifatkan inisiatif itu sebagai “langkah penting ke arah memperkukuh hubungan budaya dan ekonomi.”

Khairi turut mengetengahkan potensi Zanjan sebagai destinasi unik untuk pelancong Malaysia, sambil menyatakan bahawa acara seperti Hari Zaitun Kebangsaan menyediakan peluang berharga untuk meningkatkan kerjasama pelancongan.

Sadeghi pula berkongsi rancangan untuk menghasilkan dokumentari yang memaparkan kekayaan sejarah, budaya, dan tarikan semula jadi Zanjan, serta potensi ekonominya yang lebih luas.

Dalam aspek ekonomi, kedua-dua pihak mengakui terdapat peluang besar untuk perdagangan dan pelaburan.

Sadeghi menegaskan kesediaan Zanjan untuk menarik pelabur asing dan mencadangkan penganjuran pameran keupayaan industri wilayah itu untuk Malaysia dengan sokongan Dewan Perdagangan Zanjan serta sektor swasta.

Khairi mengulangi minat Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan di Zanjan, terutamanya dalam sektor industri, perlombongan, dan pertanian.

Mengenai kerjasama pendidikan, perbincangan tertumpu pada potensi kerjasama penyelidikan dan program pertukaran universiti.

Khairi berkata terdapat “peluang luas untuk kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan saintifik, dan perkongsian ilmu” antara Malaysia dan Zanjan, manakala Sadeghi menekankan nilai memperkukuh hubungan dalam bidang akademik.

Lawatan ini mencerminkan minat berterusan Malaysia untuk mempererat kerjasama dengan Iran di peringkat wilayah, selain meneruskan perbincangan sebelum ini yang mengukuhkan komitmen bersama untuk melaksanakan inisiatif yang dipersetujui dan meneroka peluang kerjasama baharu.

-- BERNAMA