Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan memperuntukkan RM131.5 juta untuk menggalakkan syarikat tempatan, khususnya PKS, mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Dana itu akan diurus oleh SC dan diagihkan melalui platform pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan peer-to-peer (P2P) untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat strategik pertengahan (MTC).
Di bawah CoSIF, kerajaan bekerjasama dengan pelabur swasta untuk menyokong perniagaan dalam 21 sektor di bawah NIMP 2030, bersama empat sektor pertumbuhan baharu muncul iaitu Carbon Capture, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS), Kenderaan Elektrik (EV), Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dan Bahan Termaju.
"Jumlah yang telah diperuntukkan oleh kerajaan berjumlah RM131.5 juta untuk permulaan dan kami akan melihat juga dana daripada sektor swasta untuk memadankan dana yang telah diperuntukkan.
"Tujuan utama adalah untuk menggalakkan syarikat Malaysia, khususnya PKS untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi kita, terutamanya PKS, dan menyasarkan untuk menumpukan sektor di bawah pelan induk perindustrian baharu," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran CoSIF di ibu negara, pada Selasa.
Turut hadir ialah Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Jelas Tengku Zafrul, inisiatif itu bukan sahaja mempelbagaikan pilihan pembiayaan tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap keterangkuman dengan memudahkan pertumbuhan dalam industri.
Tambahnya lagi, dana itu akan membantu misi NIMP 2030, sekali gus meletakkan negara di landasan yang tepat untuk menjadi hab perkilangan dan perkhidmatan terulung di rantau ini.
