Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir paling ramai direkodkan di Beaufort dengan 1,719 mangsa daripada 556 keluarga di tujuh PPS.
Ini diikuti Tenom dengan 1,119 orang daripada 420 keluarga ditempatkan di 14 PPS, Membakut (914 orang daripada 312 keluarga di lima PPS) dan Sook (778 orang daripada 200 keluarga di tiga PPS).
"Sebanyak 41 kampung terjejas akibat banjir iaitu 16 di Tenom, masing-masing 10 di Beufort dan Membakut serta lima di Sook," menurut kenyataan itu.
Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah juga menerusi kenyataan memaklumkan jambatan di KM0.74 Jalan Minasut Kampung Baru ke SRK, Keningau ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
"Penutupan disebabkan struktur abutment (penampan) jambatan runtuh akibat bencana banjir kilat dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan," menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin melalui jambatan itu dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Baru dan Jalan Minasut.
-- BERNAMA
