Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 479 orang daripada 132 keluarga pada pukul 8 malam, berbanding 322 orang daripada 82 keluarga pada pukul 4 petang tadi.
Menurut sekretariat itu, seramai 253 orang (65 keluarga) ditempatkan di dua PPS di Kinabatangan, 149 orang (48 keluarga) di satu PPS di daerah Beaufort dan 77 orang (19 keluarga) di satu PPS di daerah Keningau.
"Trend pemindahan di PPS Keningau menunjukkan peningkatan, manakala keadaan di Kinabatangan kekal. Pemindahan di PPS Beaufort sedang dilakukan," menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, jumlah mangsa terus menurun kepada 4,341 orang setakat pukul 8 malam ini, berbanding 4,520 orang pada petang tadi dengan dua lagi PPS ditutup, menjadikan 24 PPS masih beroperasi.
Penurunan jumlah mangsa banjir berlaku di Bahagian Miri yang mencatatkan 917 orang mangsa berbanding 1,129 orang sebelum ini manakala di Bahagian Samarahan jumlah mangsa berkurangan kepada 51 orang berbanding 106 orang pada petang tadi.
Bagaimanapun, tiga bahagian mencatatkan pertambahan jumlah mangsa iaitu di Bintulu dengan 1,612 orang berbanding 1,593 orang pada petang tadi, di Sibu dengan 1,173 orang berbanding 1,157 orang dan di Mukah dengan 575 orang berbanding 522 orang sebelum ini.
Jumlah mangsa di Sarikei kekal 13 orang manakala dua PPS yang ditutup masing-masing terletak di Miri dan Samarahan.
-- BERNAMA