Di SARAWAK, keadaan banjir bertambah buruk dengan mangsa banjir meningkat kepada 11,234 orang daripada 3,187 keluarga di enam bahagian di negeri ini.
Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak menyatakan Bahagian Bintulu yang melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 5,350 orang daripada 1,429 keluarga, diikuti Bahagian Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) dengan 2,254 mangsa daripada 703 keluarga.
Turut terlibat Bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) dengan 1,530 mangsa daripada 508 keluarga, serta bahagian Sibu (daerah Selangau dan Kanowit) mencatatkan 1,017 mangsa daripada 237 keluarga.
Bahagian Miri (daerah Miri dan Subis) pula merekodkan 608 mangsa banjir daripada 157 keluarga manakala Bahagian Kuching seramai 475 mangsa daripada 153 buah keluarga.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 5,195 orang daripada 1,797 keluarga, setakat 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan PPS Dewan Letinggi, Kota Belud telah ditutup, menjadikan 33 PPS masih beroperasi di sembilan daerah.
Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 orang daripada 1,095 keluarga, diikuti Pitas dengan 792 mangsa (276 keluarga), Lahad Datu 505 mangsa (133 keluarga), Telupid 288 mangsa (75 keluarga), Paitan 240 mangsa (87 keluarga) dan Kota Belud 207 mangsa (67 keluarga).
Daerah lain yang terjejas ialah Beaufort yang merekodkan 108 mangsa (31 keluarga), Beluran 57 mangsa (20 keluarga) dan Tongod 54 mangsa (13 keluarga).
Jawatankuasa itu melaporkan trend pemindahan mangsa di Kota Belud dan Lahad Datu menunjukkan peningkatan manakala daerah lain tidak berubah.
-- BERNAMA