KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun kepada 9,039 orang yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian setakat pagi ini berbanding 9,314 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daripada jumlah itu, 4,492 mangsa berlindung di sembilan PPS di bahagian Bintulu berbanding 4,727 orang dicatatkan malam tadi, manakala 1,525 orang lagi masih kekal di empat PPS di bahagian Serian.

Bahagian Miri pula merekodkan 1,406 mangsa berbanding 1,464 orang di 12 PPS manakala di bahagian Sibu melibatkan 828 mangsa berbanding 839 orang di lima PPS.

Di bahagian Samarahan, jumlah mangsa kekal 523 orang yang berlindung di empat PPS sementara di bahagian Mukah, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 265 orang di tiga PPS berbanding 236 malam tadi.

-- BERNAMA