SABAK BERNAM: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk mengurangkan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang ditanggung agensi itu di bawah paras 30 peratus tahun ini, kata Pengerusinya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata untuk itu, satu pendekatan lebih agresif dan tiada kompromi akan diambil kepada mereka yang culas dalam menjelaskan hutang terhadap agensi yang berperanan membangunkan sosioekonomi masyarakat bumiputera itu.

"Kita ada rancangan yang jelas untuk tahun ini dan saya telah memberikan amanah kepada Ahli Majlis Mara yang dianggotai antaranya bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk mengepalai jawatankuasa pelaburan dan melihat disiplin serta tatakelola disiplin kewangan Mara.

"Jadi, tidak mustahil jika selepas ini disiplin kita setaraf dengan institusi kewangan lain. Ini bukan untuk menyulitkan sesiapa tetapi janganlah atas nama kita nak mengangkat martabat bangsa tapi kita culas dan melakukan penyelewengan serta penyimpangan dari segi agenda itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar di sini sempena sesi pendaftaran pelajar sesi 2025 hari ini.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata jumlah NPL yang ditanggung Mara kini mencecah 49.6 peratus atau bernilai RM893 juta, menyebabkan agensi itu bakal mengambil tindakan tegas termasuk saman terhadap mereka yang masih gagal melunaskan pinjaman.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Universiti Al-Azhar, Mesir untuk memberikan diskaun pengajian kepada pelajar di bawah seliaan Mara meneruskan pengajian di universiti itu dalam bidang perubatan.

Beliau berkata jika perkara itu dapat dicapai ia akan dapat memberikan penjimatan dari segi tajaan pelajar sekali gus mengoptimumkan perbelanjaan Mara berikutan kos pengajian dalam negara membabitkan bidang itu semakin meningkat.

"Kita kini sedang menanti keputusan rasmi daripada pihak sana (Universiti Al-Azhar) supaya kita ada alasan yang kukuh untuk menghantar pelajar kita ke sana kerana kita ada MRSM Ulul Albab yang memang dalam bidang sains.

"... dan dalam masa yang sama mereka ini (pelajar MRSM Ulul Albab) hanya diperlukan menghafal lima juzuk sahaja lagi kerana di sini mereka telah menghafal 30 juzuk al-Quran jadi ini akan memudahkan lagi laluan pengajian mereka," katanya.

Asyraf Wajdi berkata kerajaan sebelum ini pernah menawarkan tajaan ke universiti terutama di Timur Tengah namun menghentikan langkah tersebut pada tahun 2016 susulan peristiwa Arab Spring.

"Cadangan ini melihat kepada kecekapan kos dan saya telah bincang dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, insya-Allah kertas mengenai cadangan ini akan disiapkan," katanya.

-- BERNAMA