KUANTAN: Seorang penganggur yang baharu sahaja dibebaskan daripada penjara, sekali lagi diberkas polis minggu lepas kerana disyaki mengetuai kumpulan mencuri motosikal.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek berusia 33 tahun dikenali sebagai 'Mat Mata' itu dihukum penjara lapan bulan di sini kerana mencuri motosikal pada Februari lepas, selain perlu menjalani pengawasan polis selama setahun hingga Oktober 2024.
"Bagaimanapun, dia hanya melaporkan diri di balai polis di Bachok, Kelantan pada minggu pertama Oktober dan dipercayai pulang ke Kuantan sebelum terlibat dalam lapan kes kecurian motosikal, dua buah kereta dan sebuah van yang dilaporkan hilang bermula hujung bulan lepas.
"Selain Mat Mata, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 33 tahun dipercayai anggota kumpulan itu pada serbuan 22 Nov lepas di sekitar Kuantan dan Pekan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata serbuan itu turut merampas sebuah van curi yang dipercayai digunakan bagi melakukan jenayah itu, enam motosikal termasuk sebuah telah dileraikan dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Jaya Gading di sini, namun ditemukan telah dibakar di tepi jalan di Pekan, dekat sini.
Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan motosikal di kawasan perumahan dan akan menggunakan kenderaan itu terlebih dahulu sebelum dijual.
Polis tidak menolak kemungkinan wang jualan digunakan untuk melepaskan gian kerana semua suspek mempunyai rekod jenayah dadah, katanya.
"Kumpulan ini dipercayai menggunakan kunci Allen yang diubah suai untuk membuka pintu van dan kereta sebelum menyambung wayar untuk menghidupkan enjin manakala motosikal dicuri dengan cara mengangkat kenderaan itu ke dalam van," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata kesemua suspek yang masih bujang direman hingga esok dan polis akan memohon supaya tempoh itu disambung bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 411 kanun sama iaitu memiliki harta curi dan Seksyen 414 kanun sama kerana membantu menyembunyikan harta curi.
Dalam pada itu, beliau berkata kes kecurian motosikal di Kuantan setakat 26 Nov tahun ini meningkat kepada 161 kes berbanding 124 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Justeru beliau menasihatkan orang awam supaya lebih peka terhadap keselamatan kenderaan itu termasuk menggunakan kunci tambahan.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Nov 27 2023

Suspek dihukum penjara lapan bulan kerana mencuri motosikal pada Februari lepas, selain perlu jalani pengawasan polis selama setahun. - Gambar hiasan

Mahkamah khas SOSMA: Pendekkan atau hapus tempoh tahanan 28 hari tanpa bicara
Kerajaan juga wajar mempertimbangkan pindaan akta termasuk peruntukan mengenai isu jaminan bagi mengurangkan kesesakan di penjara.

Malaysia semakin popular sebagai destinasi acara korporat India
Segmen MICE merupakan antara bidang tumpuan utama Tourism Malaysia pada SATTE tahun ini di New Delhi.

Pemandu maut, nahas dua lori di Lebuhraya Utara Selatan
Mangsa yang berusia 43 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

PGA tumpas cubaan seludup 1,000 anak pokok Bromeliad
Anggota Batalion 8 PGA menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 5.30 petang, dalam Op Taring Wawasan.

When Legend Rise: KO! Adli Hafidz tumbangkan peninju Indonesia dalam pusingan ketiga
Adli Hafidz Pauzi menumbangkan Sony Manakane secara knockout (KO) dalam pertarungan When Legend Rise, di Bangkok, malam tadi.

Sanggup bujang, kerja sambilan demi jaga bapa
Bagi Noraziana, bapanya adalah segala-galanya dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga dengan sebaiknya sebagai membalas jasa beliau.
JAWI panggil individu pakai seperti wanita dalam acara hiburan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memanggil semua individu yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara hiburan pada 16 Februari lalu.
Budak tercekik gula-gula kenyal meninggal dunia
Kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata meninggal dunia.
Warga asing ditahan jual tisu di lampu isyarat
Seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun ditahan polis di lampu isyarat Puchong Jaya selepas didapati menjual tisu kepada pengguna jalan raya, sekali gus mengganggu kelancaran lalu lintas.
Pistol berkarat ditemukan di belakang medan selera Pantai Bersih
Sepucuk pistol berkarat dan tidak berfungsi ditemukan di kawasan belakang sebuah medan selera di Pantai Bersih Butterworth pada Rabu.

'Mat Mata' diberkas lagi, ketuai kumpulan curi motosikal selepas keluar penjara
Suspek dihukum penjara lapan bulan kerana mencuri motosikal pada Februari lepas, selain perlu jalani pengawasan polis selama setahun hingga Oktober 2024.