Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, jasad Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, mangsa terakhir itu ditemui pada jam 7 malam.
Menurutnya, mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi mangsa pertama, Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, yang ditemukan pasukan penyelamat tidak lama sebelum itu.
Sayani berkata, dengan penemuan mayat mangsa terakhir itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan malam ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, jasad Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham, 16, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.45 petang.
Menurutnya, lokasi mangsa dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus.
Katanya, jasad mangsa dilaporkan terapung selepas operasi SAR menggunakan teknik pusaran air oleh bot pasukan penyelamat sekitar jam 4 petang.
Menurut beliau, pengecaman mayat mangsa kemudiannya disahkan ahli keluarga.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang Isnin, kedua-dua pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah, Parit dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Perak di Kampung Tepus.
Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bola bersama-sama rakan di atas beting pasir di tengah-tengah sungai, sebelum bola yang digunakan terjatuh ke dalam sungai.
