PARIT : Mayat seorang daripada dua pelajar lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus Sungai Perak di Kampung Tepus, Parit, pada Isnin, berjaya dijumpai pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, jasad Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.45 petang.

Menurutnya, lokasi mangsa dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus.

Jasad mangsa dilaporkan terapung selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik pusaran air oleh bot pasukan penyelamat sekitar jam 4 petang.

Pengecaman mayat mangsa kemudiannya disahkan ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat.

Pasukan penyelamat sedang meneruskan operasi SAR untuk mengesan seorang lagi mangsa, Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang Isnin, kedua-dua pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah, Parit dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Perak di Kampung Tepus.

Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bola bersama-sama rakan di atas beting pasir di tengah-tengah sungai, sebelum bola yang digunakan terjatuh ke dalam sungai.