Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mangsa, Nur Haidhar Nasrul, 17, ditemukan pada jam 11.18 pagi.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jitra melakukan selaman pertama di lokasi pada jam 10.34 pagi dan kedua pada jam 11.01 pagi.
"Bagaimanapun pada selaman ketiga dilakukan sejurus selepas itu berjaya menemui mangsa di dasar sungai pada jam 11.18 pagi.
"Mangsa ditemui pada jarak 10 meter dari lokasi dipercayai terjatuh di sungai berkenaan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi pada Isnin.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Padang Terap, Chegar di sini petang Ahad.
Bagaimanapun motosikal mangsa ditemui di sungai berkenaan ketika operasi pencarian dilakukan sejurus pihak bomba menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.16 malam.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)