KUANTAN: Mayat seorang peniaga makanan wanita ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah hari tadi.

Beliau berkata bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan polis bersama pakar patologi forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh wanita itu.

"Siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang tinggal di daerah Kuantan serta merupakan seorang peniaga makanan.

"Menurut saksi, mangsa datang ke kawasan tempat kejadian untuk menjalankan urus niaga secara hantaran (COD) kira-kira 7.30 malam semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA