Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tindakan sama juga dikenakan kepada penganjur yang terlibat dalam aktiviti 'ali baba' itu semata-mata untuk mengaut keuntungan besar.
"Untuk menganjurkan bazar Ramadan, ada syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan begitu juga untuk menyewa tapak bazar.
"Penganjuran bazar Ramadan di Melaka bukan setahun dua dan kebanyakan peniaga telah lama berniaga di tapak disediakan. Jadi, sudah pasti mereka faham tentang syarat ditetapkan," katanya kepada pemberita, di sini, pada Isnin.
Rais berkata demikian selepas merasmikan Majlis 'Back to School' sempena Hari Perbandaran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ke-15 dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Pengkalan Batu yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin dan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.
Rais berkata, walaupun tiada kes berkaitan aktiviti 'ali baba' melibatkan penganjur dan peniaga bazar Ramadan sebelum ini, namun, pemantauan akan dilakukan bagi mengekang perbuatan itu.
Beliau berkata, langkah itu juga selaras amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, bahawa lesen bazar Ramadan yang didapati dijual semula akan dibatalkan segera.
"Pemantauan dan kawalan terhadap isu ini penting kerana kita tidak mahu timbul isu kebersihan atau aduan masyarakat setempat berkaitan sampah tidak diurus dengan baik sekali gus menimbulkan ketidakselesaan penduduk," katanya.
Perdana Menteri Anwar semasa memberi amaran itu menegaskan, tindakan tersebut perlu dilaksanakan kerana saban tahun terdapat pihak mengambil kesempatan menjual semula lesen bagi mendapat keuntungan mudah.
Mengulas mengenai program, Rais berkata, sebanyak 200 penerima dari tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Pengkalan Batu menerima bantuan tunai dan keperluan barangan persekolahan berjumlah RM150 diperuntukkan MPHTJ.
Beliau berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa daripada keluarga B40 sekali gus memastikan tiada anak-anak tercicir daripada memulakan sesi persekolahan baharu. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)