Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penetapan itu dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Johor, iaitu pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.
Beliau berkata, penetapan harga beras dan peratus penggunaannya diperoleh daripada Bahagian Kawalselia Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemborong dan peruncit di negeri itu.
Mohd Fared berkata, ketetapan harga zakat fitrah bagi RM7 dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya dari gred seperti super special tempatan dan beras hancur.
"Pada kadar RM12 pula dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya selain super special tempatan iaitu beras import seperti beras putih import Thailand, Pakistan dan Vietnam.
"Sementara kadar RM20 pula dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya selain super special tempatan iaitu beras import seperti beras basmathi import dan super wangi serta ponnies," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di sini, hari ini.
Beliau berkata, umat Islam di Johor boleh melaksanakan pembayaran zakat fitrah menerusi 1,637 Amil Fitrah yang bertauliah dan diberi kuasa daripada MAINJ bagi menjalankan tugas memungut.
Mohd Fared berkata, pembayaran boleh dilakukan menerusi bayaran tunai atau kod QR, perkhidmatan kaunter bergerak zakat MAINJ di setiap daerah serta kaunter UTC MAINJ di Kotaraya dan Pasir Gudang, di sini.
Beliau berkata, umat Islam yang bermukim di Johor termasuk warga asing adalah wajib menunaikan zakat fitrah di negeri berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, unjuran pungutan fitrah bagi tahun ini adalah sebanyak RM29 juta dengan anggaran 2.51 juta umat Islam di Johor yang akan membayar zakat fitrah.
"Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu kini, iaitu dengan mengambil nisbah 36 peratus adalah pembayar bayar bagi RM7, 45 peratus adalah pembayar RM12 serta 18 peratus adalah pembayar bagi RM20. - BERNAMA
