Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mesyuarat itu diadakan susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami cuaca yang agak panas dan kering di beberapa kawasan di seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan.
"Sememangnya kita akui bahawa belum ada integrasi antara ramalan cuaca dengan takwim tanaman dan tuaian secara spesifik bagi membantu petani merancang aktiviti pertanian berdasarkan data cuaca buat masa ini.
"Namun begitu, MetMalaysia akan mengadakan perbincangan dengan KPKM bagi tujuan integrasi. Buat masa ini, MetMalaysia telah berkongsi maklumat dan data meteorologi melalui Portal Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) dan telah membangunkan MET Application Programming Interface (METAPI) bagi memudahkan integrasi data," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu cadangan kementerian untuk mengintegrasikan sistem ramalan cuaca dengan takwim tanaman dan tuaian bagi membantu petani merancang aktiviti pertanian berdasarkan data cuaca.
Nik Nazmi berkata MetMalaysia juga menyediakan Tinjauan Meteorologi Pertanian dan Buletin Cuaca setiap bulan di laman sesawang jabatan, yang digunakan sebagai panduan berkenaan cuaca kepada pelbagai agensi pertanian.
Agensi pertanian terlibat ialah Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan pengusaha-pengusaha industri pertanian.
"Laporan ini memberikan analisis dan maklumat berkaitan jumlah taburan hujan, suhu, kelembapan relatif, sejatan dan sinaran matahari setiap bulan," katanya.
Bagi memantau keadaan cuaca kering dan panas di negara ini, Nik Nazmi berkata MetMalaysia melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemantauan suhu maksimum harian bagi menentukan status cuaca panas di seluruh negara dan pelaporan bilangan hari tanpa hujan setiap hari.
Selain itu, penyediaan maklumat dan ramalan kawasan yang berisiko untuk pembakaran melalui Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) yang dikemas kini setiap hari, pemantauan status El Nino dan La Nina yang dikemas kini setiap bulan dan pengeluaran indeks pemantauan kemarau yang dikemas kini setiap bulan.
"Semua maklumat ini boleh diakses melalui laman sesawang dan media sosial rasmi MetMalaysia. Sekiranya ada keperluan operasi pembenihan awan, kita akan bincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melihat kesesuaian perkara itu," katanya.
-- BERNAMA
