Menurut Wisma Putra, agenda lain termasuk deklarasi ASEAN mengenai hak alam sekitar, pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan dan hak kepada pembangunan, yang turut akan dibincangkan dalam mesyuarat mulai 11 hingga 14 Feb ini, di Langkawi.
"Selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025, 'Keterangkuman dan Kemampanan', Malaysia akan mengetengahkan beberapa keutamaan.
"Ia termasuk memajukan agenda hak keamanan, pembangunan, serta perubahan iklim; menangani cabaran hak asasi manusia di rantau ini melalui pendekatan 'ASEAN-led' dan 'ASEAN-owned'; serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses serta mekanisme AICHR.
"Ini termasuk memperkukuh hubungan dengan badan sektoral ASEAN, rakan dialog dan organisasi masyarakat sivil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acara ini merupakan mesyuarat pertama di bawah kepimpinan Wakil Malaysia ke AICHR dan Pengerusi AICHR bagi tahun 2025, Edmund Bon Tai Soon.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, semua negara anggota ASEAN serta wakil Timor-Leste sebagai pemerhati turut hadir dalam mesyuarat ini.
"Menjelang mesyuarat ini, Bengkel Peralihan telah diadakan pada 10 Feb lalu. Bengkel ini bertujuan memastikan kesinambungan tugas antara wakil lama dan wakil baharu AICHR, selain menggalakkan dialog bersama masyarakat sivil.
"Hasil bengkel ini dijangka menyumbang kepada perbincangan yang lebih dinamik dalam mesyuarat kali ini serta memperkukuh komitmen ASEAN terhadap demokrasi, hak asasi manusia dan pembangunan mampan," katanya.
Wisma Putra memaklumkan, mesyuarat ini menjadi platform penting bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memimpin agenda hak asasi manusia dan pembangunan mampan di rantau Asia Tenggara.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)