KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memperkasakan aspek kesejahteraan warganya dengan memberi tumpuan kepada aspek keselesaan tempat tinggal dan pendidikan pada tahun ini.

Perkara tersebut adalah antara 10 fokus utama yang digariskan dalam perancangan 2025 Kementerian Pertahanan bagi mengukuhkan lagi kesejahteraan warganya, selain memastikan sistem pertahanan negara mencapai keperluan serta cabaran semasa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara perkara yang menjadi tumpuan dalam aspek kesejahteraan tersebut adalah peningkatan faedah hilang upaya yang akan diberikan kepada kumpulan sasaran yang lebih besar berkuat kuasa Januari ini.

"Antara semakan dan penambahbaikan yang telah dipersetujui adalah pencen hilang upaya akan diberikan kepada semua darjah hilang upaya (satu peratus hingga 100 peratus), dengan memansuhkan ganjaran hilang upaya secara sekali gus (satu peratus hingga 19 peratus) yang digunakan sebelum ini. Selain itu, julat elaun pelajaran anak penerima pencen hilang upaya dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 setahun kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun, bergantung kepada tahap pendidikan," katanya.

"Selain itu, elaun layanan sentiasa dinaikkan daripada RM440 sebulan kepada RM1,500 sebulan selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 dan kita bersetuju mewujudkan ganjaran hilang upaya disebabkan oleh kecederaan semasa tugas aktif (wounded in action) yang diberi secara sekali gus (one-off) kepada semua anggota Angkatan Tentera Malaysia yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif seperti bertugas dalam operasi, bertugas semasa darurat, semasa menjalani latihan berisiko tinggi atau semasa menjalani latihan dalam rekrut dan ujian (untuk kecekapan tugas)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Mohamed Khaled berkata daripada aspek penyelengaraan rumah anggota ATM, sebanyak RM426 juta diperuntukkan tahun ini untuk menggandakan usaha menyelenggara dan menambah baik bangunan dan fasiliti Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta blok-blok penginapan anggota di seluruh negara.

"Dianggarkan lebih 12,000 unit RKAT dan penginapan anggota akan menerima manfaat daripada peruntukan penyelenggaraan ini," katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya akan menyemak semula kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) daripada segi pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhannya.

Jelasnya, faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin, kelestarian kos dalam menetapkan bidang yang diperlukan, perlu diperhalusi secara serius.

"Kementerian akan memikirkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar dalam bidang kritikal yang diperlukan ATM dan mempertimbang pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) siswazah terpilih dalam kalangan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang berjaya diterima masuk ke dalam ATM," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata sembilan fokus Mindef tahun ini adalah mencari dan menarik bakat terbaik, mengukuh keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan ATM, memperoleh dan menambah aset serta keupayaan teknologi yang menjawab keperluan dan cabaran semasa.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga memberi tumpuan rmembangunkan industri pertahanan tempatan yang kompetitif dan berdaya saing, merancakkan kajian, penyelidikan dan pengkomersialan inovasi pertahanan melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), memperkemas dan melebar diplomasi pertahanan.

Perkara lain yang turut menjadi tumpuan adalah mewujudkan masyarakat yang patriotik dan menghargai keamanan dan kedaulatan, menyatakan pandangan dari perspektif pertahanan agar negara berupaya membuat pendirian kritikal serta merundingkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) secara strategik bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

-- BERNAMA