KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) sedang menyemak semula lima akta untuk mengukuhkan pembangunan perindustrian yang dicadang dibentangkan kepada Parlimen tahun ini.


Ringkasan AI
  • MITI sedang menyemak semula lima akta utama, termasuk Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 yang akan digantikan dengan Rang Undang-undang Pembangunan Perindustrian 2025, serta Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan, Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia, Akta Standard Malaysia, dan Akta Perdagangan Strategik.
  • Rang Undang-undang Pembangunan Perindustrian 2025 bertujuan untuk memudahkan proses perniagaan bagi pengilang dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui penggunaan pendigitalan dan penyelarasan proses.
  • Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan yang diperkukuh akan lebih berkesan dalam melindungi industri tempatan daripada import harga yang tidak adil, terutama ketika berdepan dengan potensi perang perdagangan global dan gangguan bekalan.


Timbalan Menteri Liew Chin Tong berkata lima akta utama yang disemak semula itu adalah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156) yang dirancang digantikan dengan Rang Undang-undang Pembangunan Perindustrian 2025.

Manakala akta yang lain adalah Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan, 1993 (Akta 504), Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia (pemerbadanan) 1966 (Akta 408), Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549) dan Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708).

Bercakap pada sesi dialog awam, di sini, hari ini, Liew yang mewakili Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Rang Undang-undang Pembangunan Perindustrian 2025 yang dicadangkan itu adalah bertujuan untuk memudahkan proses perniagaan bagi pengilang dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

"Draf rang undang-undang itu dirangka bagi memudahkan pengilang yang memenuhi keperluan untuk mendapatkan lesen pembuatan (ML) dan status pembuatan (menggantikan ICA 10 ketika ini), terutamanya melalui penggunaan pendigitalan dan penyelarasan proses," katanya.

Beliau berkata Rang Undang-undang Pembangunan Perindustrian 2025 baharu itu bertujuan untuk menggunakan pengeluaran lesen pembuatan dan status pembuatan, serta pengesahan tiga tahun sekali, sebagai mekanisme untuk memantau aktiviti pembuatan tempatan dan membina rantaian bekalan tempatan yang berdaya tahan.

"Selain memudahkan pengilang dan memastikan ketahanan rantaian bekalan, rang undang-undang baharu itu yang merangkumi elemen taman perindustrian bertaraf utama, juga akan menjadi asas untuk membina pangkalan perindustrian Malaysia yang kukuh bagi generasi akan datang," katanya.

Liew berkata Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan yang diperkukuh akan lebih berkesan dalam melindungi industri tempatan daripada import harga yang tidak adil, terutamanya ketika berdepan dengan potensi perang perdagangan global dan gangguan bekalan.

"Rang Undang-Undang Pindaan Anti-Lambakan kini berada pada tahap yang mantap, manakala semua rang undang-undang lain memerlukan input selanjutnya untuk mengukuhkannya.

"Semua maklum balas anda dialu-alukan dan saya memberi jaminan bahawa MITI sentiasa mengambil maklum dan fleksibel dalam menerima cadangan yang baik," katanya.

-- BERNAMA