Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan dasar baharu untuk menggalakkan penggunaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menggantikan kenderaan berat di jalan raya.
- Insentif akan diberikan kepada syarikat kargo dan pengangkutan untuk beralih menggunakan ECRL apabila projek ini siap.
- Permit kenderaan syarikat yang melanggar peraturan akan dibatalkan atau digantung untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan jalan raya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dasar itu antara lain akan melibatkan pemberian insentif kepada pemain industri bagi menggalakkan mereka beralih menggunakan ECRL apabila projek rel berkenaan siap.
Beliau berkata kementerian melihat kaedah menggunakan rel ECRL antara kaedah terbaik untuk mengurangkan jumlah kenderaan berat di jalan raya, sekali gus berpotensi mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.
"Kita melihat ini sebagai satu alternatif yang baik, terutamanya bagi laluan atau perjalanan kenderaan berat ke Pantai Timur. Dasar ini akan diperkenalkan apabila ECRL siap nanti," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai tindakan dasar atau undang-undang baharu bagi mengawal peningkatan kenderaan berat pada waktu puncak serta meminimumkan risiko kemalangan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 4 Feb lepas dilaporkan berkata kemajuan keseluruhan projek ECRL yang merangkumi empat negeri melibatkan Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor sudah mencapai 78.5 peratus setakat Januari.
Amir juga dilaporkan berkata perkhidmatan ECRL dijangka beroperasi bermula awal 2027.
Menjawab soalan asal Khairil Nizam berhubung hasil siasatan kemalangan maut yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer (KM) 204, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Ayer Keroh pada 23 Dis lepas, Loke berkata permit kenderaan milik syarikat Yinson Transport (M) Sdn Bhd, yang terbabit dalam kejadian itu, telah dibatalkan berkuat kuasa 11 Feb lalu.
Beliau berkata pembatalan itu kerana rekod pemanduan melebihi had laju.
"Syarikat V Travel Sdn Bhd pula telah digantung semua lesen kenderaan bermula 18 Feb sehingga 19 Mac ini kerana gagal mematuhi kehendak Amalan Kod Industri (ICOP)-Keselamatan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat).
-- BERNAMA
