KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan laman sesawang palsu yang menyamar sebagai platform rasmi kementerian itu bagi carian syarikat pelancongan berlesen.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan laman sesawang palsu menerusi pautan https://www.motacgov.com/semakan/tobtab/#/ dan https://www.motacgov.com/#/ berkemungkinan digunakan untuk memperdaya pengguna dengan maklumat tidak sah atau menyalurkan perkhidmatan yang tidak diiktiraf kementerian.

"MOTAC memandang serius perkara ini kerana ia boleh mengelirukan orang ramai dan berpotensi menyebabkan penipuan.

"Tindakan sewajarnya sedang diambil bagi menangani isu ini, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menyekat dan menutup laman sesawang palsu berkenaan," menurut kenyataan itu.

MOTAC memaklumkan semua maklumat rasmi mengenai syarikat pelancongan dan pemandu pelancong berlesen hanya boleh diakses melalui laman sesawang rasmi kementerian di https://www.motac.gov.my/.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai laman sesawang mencurigakan atau menjadi mangsa penipuan berkaitan perkara itu boleh membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://motac.spab.gov.my/.

"Aduan juga boleh dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-80008000," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA