KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengkaji semula sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang sebelum ini ditetapkan seramai 36 juta orang.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengkaji semula sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang sebelum ini ditetapkan seramai 36 juta pelancong.
  • MOTAC menetapkan sasaran untuk menjana sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan dengan meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.
  • MOTAC akan melancarkan kempen berskala besar yang memfokuskan produk pelancongan berkualiti tinggi.


Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia susulan kejayaan sektor pelancongan negara yang melebihi jangkaan awal selepas berjaya menarik 38 juta pelancong pada 2024.

“Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula sasaran VM2026. Jika kita kekalkan angka 36 juta, ia akan menjadi sasaran yang lebih rendah berbanding pencapaian semasa.

“Kami akan semak semula sasaran ini agar ia lebih realistik dan dapat memberi impak ekonomi yang lebih besar kepada negara melalui sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

King Sing menambah, MOTAC juga menetapkan sasaran untuk menjana sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan, dengan memfokuskan kepada usaha meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.

“Sekarang kita berada pada tahap RM3,000 per kapita, tetapi kita sedang berusaha untuk meningkatkan nilai ini. Apabila pelancong membelanjakan lebih banyak, ekonomi tempatan akan menerima manfaat besar.

“Kami akan melihat data terkini untuk menetapkan sasaran yang lebih relevan dengan trend pelancongan global. Kita juga perlu pastikan ada produk eksklusif yang mampu menarik minat mereka," ujar beliau.

Menurut beliau lagi, kementerian akan melancarkan kempen berskala besar yang memfokuskan produk pelancongan berkualiti tinggi, termasuk segmen pelancongan mewah.

Selain mempromosikan destinasi pelancongan utama, katanya MOTAC juga akan meningkatkan promosi untuk sektor rumah inap dan pelancongan luar bandar melalui pelbagai kempen serta aktiviti.

“Kami mahu pelancong merasai sendiri keunikan Malaysia yang pelbagai kaum. Sebagai contoh, di Sarawak, kita boleh menawarkan pengalaman tinggal di rumah panjang, mencuba makanan tempatan, dan menyertai aktiviti komuniti.

“Kami ingin pastikan pelancong bukan hanya datang, tetapi juga berbelanja, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” jelas King Sing.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar semua pihak tidak memperbesarkan isu video promosi VM2026 yang tular baru-baru ini, sambil memberi jaminan bahawa versi penuh akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Video berdurasi 41 saat yang tular itu bukanlah video promosi penuh. Bagi video yang baharu, kementerian akan memastikan semua elemen penting, termasuk masjid dan tempat keagamaan, dimasukkan dalam versi yang akan datang," jelasnya.