Perjanjian ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pembangunan teknologi negara melalui penyelidikan, inovasi, dan keusahawanan teknologi, khususnya di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. HJ. Mohammad Hazani Hj. Hassan menegaskan bahawa kolaborasi ini akan menjadi platform strategik untuk menghubungkan penyelidik, usahawan, dan industri dalam mempercepatkan pemindahan teknologi serta pengkomersialan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi tempatan.
Memperkukuh peranan MTDC dalam menyokong Institusi Pengajian Tinggi
MTDC mempunyai sejarah panjang dalam membangunkan ekosistem teknologi Malaysia dengan menyokong institusi pengajian tinggi melalui pelbagai inisiatif seperti program pembiayaan, pemerkasaan keusahawanan, dan pembangunan kapasiti teknologi.
MoU dengan UMS melengkapkan rangkaian kerjasama MTDC dengan universiti utama di Malaysia, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kolaborasi ini dijangka dapat mempercepatkan pengkomersialan inovasi universiti, membangunkan bakat teknousahawan, memperkukuh ekosistem penyelidikan, serta menyokong perkembangan syarikat pemula teknologi (tech startups) dari Sabah ke peringkat global.
Harapan dan masa depan bersama UMS
Melalui MoU ini, MTDC dan UMS akan menumpukan usaha untuk mempercepatkan pengkomersialan hasil aktiviti R&D dari makmal UMS terus ke industri dan pasaran di samping meningkatkan kapasiti keusahawanan dalam kalangan pelajar dan penyelidik UMS.
Ia akan turut mampu mewujudkan peluang kerjasama antara syarikat pemula teknologi di Sabah dengan ekosistem pembiayaan dan bimbingan MTDC.
Menurut Ts. HJ. Mohammad Hazani, UMS sebagai institusi penyelidikan utama di Sabah berpotensi besar untuk membangunkan teknologi berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada industri tempatan dan nasional.
UMS dilihat sebagai sumber utama aliran tawaran produk dari Sabah untuk inisiatif MySTI.
“Kerjasama ini akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi di Malaysia Timur serta memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi serantau,” katanya.
MTDC optimis bahawa MoU ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara melalui teknologi dan inovasi.
