Pertarungan di Kejohanan Antarabangsa Tinju Johor (JIBC) 2025 pada 16 Feb lepas itu menyaksikan Muhamad Farkhan meraih kemenangan menerusi technical knockout (TKO) pada pusingan keempat, sekali gus mempertahankan gelaran juara kategori Bridgeweight, Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia dan bersara dengan rekod tanpa kalah 13-0.
Bagaimanapun, menurut Muhamad Farkhan timbul tuduhan di media sosial mengatakan perlawanan tersebut diatur selain turut menyentuh fizikalnya menyebabkan beliau rasa tidak dihargai setelah mengharumkan nama negara di beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa.
"Perkara menyakitkan dan menyedihkan apabila ada netizen bercakap negatif, ada yang body shaming cakap saya gemuk, boroi (buncit).
"Saya tidak kisah, pada saya itu normal sebab sebagai atlet saya telah lalui perkara lebih sukar dalam hidup, tetapi perkara mengecewakan saya, orang cakap ini adalah perlawanan yang diatur," katanya kepada pemberita.
Muhamad Farkhan berkata kemenangannya adalah hasil kemahiran, kecerdasan intelek (IQ) dan kelebihan dari segi kepantasan berdasarkan pengalaman dimilikinya, meskipun berdepan Jaskaran yang menduduki ranking kelima Asia kategori Bridgeweight bukan lawan mudah.
"Ini adalah kejohanan WBC Asia, Johor hanya sebagai tuan rumah. Kejohanan ini ada penyelia, pengadil dan juri dari luar negara.
"Boleh semak laman web WBC Asia dalam kategori Bridgeweight saya adalah juara dan berada dalam kedudukan keempat Asia, sementara Jaskaran di tempat kelima, kita tidak pilih lawan, tapi semua yang berlawan dengan saya adalah kelompok 10 petinju terbaik Asia," katanya.
Bagaimanapun, pemenang dua pingat emas di Sukan SEA Laos itu berkata beliau tidak bercadang untuk mengambil tindakan sebaliknya meminta semua pihak merenung kembali kejayaan yang dicapainya ketika mula menempa nama di pentas antarabangsa pada usia 16 tahun sehingga kini, yang jelas memerlukan pengorbanan luar biasa.
-- BERNAMA
