Timbalan Ketua AMK Pusat itu berkata, walaupun kesemua 14 AMK negeri telah menyatakan sokongan terhadapnya, beliau memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkannya.
"Secara umumnya, keadaannya baik dan insya-Allah, saya fikir, tak ada masalah untuk pertimbangkan (keputusan bertanding jawatan Ketua AMK).
"Cumanya, perlu waktu dan ketika untuk kita buat kenyataan dengan jelas waktu yang diberikan nanti.
"Jika dilihat kepada keadaan sokongan di bawah, insya-Allah, saya yakin. Kita pun harus pertimbangkan suara akar umbi dan juga hasrat serta aspirasinya," katanya.
Muhammad Kamil berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita MADANI di sini malam tadi.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang meraikan demokrasi, sesiapa sahaja yang layak boleh menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan PKR.
Sambil menghargai sokongan terbuka yang diberikan kepadanya, beliau berjanji akan membuat keputusan yang terbaik mengenainya.
PKR akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan AMK Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.
Mesyuarat pemilihan cabang PKR bagi tahun 2025 akan bermula dengan proses penamaan calon pada 14 hingga 16 Mac 2025.
