Berucap ketika melancarkan penerbitan Mushaf al-Huffaz di Kompleks Nasyrul Quran di sini semalam, Ahmad Zahid berkata penerbitan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pelajar maahad tahfiz di negara ini.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Falah akan membeli 50,000 naskah mushaf itu untuk diedarkan ke maahad tahfiz di seluruh negara.
"Jadi insya-Allah, pertengahan bulan Ramadan ini akan terbit dan diedarkan Mushaf al-Huffaz di seluruh maahad tahfiz...pelajar huffaz akan dimudahkan untuk mengingati ayat (al-Quran)," katanya.

Mushaf al-Huffaz menggabungkan beberapa kaedah hafazan serta ulangan, bertepatan dengan tujuan penerbitannya iaitu untuk membantu memudahkan proses hafazan dan ulangan ayat al-Quran yang telah dihafaz.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat Islam digalakkan untuk mewakafkan al-Quran dalam usaha pembudayaan kitab suci itu.

"Eloklah persiapan kita untuk wakaf al-Quran dan juga Mushaf al-Huffaz dimulakan sekarang dengan tujuan mewujudkan kesedaran awam. Allah tidak akan memiskinkan mana-mana orang mewakaf, menderma atau infaq," katanya.
Yayasan Restu terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif.
-- BERNAMA