BARCELONA: Malaysia terus memperkukuh transformasi digitalnya hasil pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara pemain industri tempatan bersama peneraju teknologi global di sela Mobile World Congress (MWC) 2025.


Ringkasan AI
  • Malaysia menandatangani 19 MoU dengan peneraju teknologi global di MWC 2025 untuk memperkukuh transformasi digital dalam bidang teknologi, AI, 5G, dan telekomunikasi.
  • Kerjasama penting termasuk CelcomDigi dengan Ericsson untuk transformasi industri minyak dan gas, serta Digital Nasional Bhd dengan Ericsson dan META untuk mempercepat penggunaan teknologi 5G.
  • MWC 2025 di Barcelona mempamerkan kemajuan teknologi Malaysia dan peranannya dalam memacu kemajuan melalui 5G, infrastruktur digital, dan inovasi kolaboratif di ASEAN.


Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata MoU berkenaan mencerminkan komitmen pemain industri dalam menggerakkan inovasi, khususnya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), 5G dan telekomunikasi.

“Tandatangan MoU ini menunjukkan komitmen semua pihak yang terlibat untuk melonjakkan inovasi teknologi, AI, 5G dan juga telekomunikasi.

“Pada masa sama, mereka juga menunjukkan komitmen untuk membawa perubahan digital ke Malaysia.

“Saya harap bahawa MoU ini akan mendatangkan lebih banyak manfaat untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada media Malaysia.

Nie Ching turut menyuarakan keyakinan bahawa MWC akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain antarabangsa untuk mengenali potensi yang Malaysia tawarkan.

Antara MoU penting yang dimeterai termasuk kerjasama di antara CelcomDigi dan Ericsson, yang bertujuan memacu transformasi industri minyak dan gas dengan teknologi 5G.

Syarikat telekomunikasi itu juga bekerjasama dengan Huawei bagi rangkaian penyatuan tetap mudah alih (fixed-mobile convergence) berasaskan AI.

Digital Nasional Bhd (DNB) turut menjalin kerjasama dengan Ericsson bagi mempercepat penggunaan teknologi 5G dalam usaha memperkukuh inisiatif transformasi digital Malaysia, serta berkolaborasi dengan META bagi Pusat Pengalaman DNB untuk meningkatkan kualiti pengalaman pusat menara jarak jauh (RTC).

Sementara itu, YTL Communications dan Equinix bekerjasama dalam pembangunan awan AI global dan infrastruktur AI lestari, manakala Maxis dan Huawei membentuk kerjasama bagi mempercepat transformasi digital pintar.

MWC, acara kesalinghubungan terbesar di dunia, menghimpunkan pemimpin industri, inovator dan pembuat dasar bagi memperkenalkan kemajuan baharu dalam teknologi mudah alih, kesalinghubungan dan transformasi digital.

Edisi ke-19 di Barcelona tahun ini menyaksikan Pavilion Malaysia mempamerkan kemajuan teknologi negara serta peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.