JELI: Aplikasi MyBorderPass mencatatkan lebih 150,000 pengguna dalam tempoh 21 hari sejak diperkenalkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata MyBorderPass adalah sebahagian usaha kementerian untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, khususnya agensi seperti Jabatan Imigresen yang berurusan secara langsung dengan rakyat.

"Pendekatan kami adalah memastikan sistem penyampaian lebih efisien. Jika urusan boleh diselesaikan secara dalam talian, rakyat tidak perlu ke kaunter fizikal. Ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga meningkatkan kepuasan pengguna.

"Imigresen telah melaksanakan pelbagai inovasi termasuk pemasangan 40 pintu automatik menggunakan teknologi pengecaman wajah, kecerdasan buatan (AI) dan kod QR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 1 Jan lepas.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di sini hari ini.

"Pada tahun lepas, KLIA merekodkan 15 juta pelepasan dan hampir 14 juta ketibaan. Dengan jumlah pelancong yang tinggi ini, teknologi auto-gate (pagar automatik) yang dapat memproses pengguna dalam masa tiga saat menjadi perubahan besar (game changer) dalam sistem imigresen kita," katanya.

Saifuddin Nasution berkata aplikasi MyBorderPass juga telah dimuat turun lebih 500,000 pengguna setakat ini dan menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin melepasi pemeriksaan imigresen dengan lebih mudah.

Beliau menambah, pihaknya bercadang memperluas kemudahan auto-gate ke lapangan terbang utama lain seperti Pulau Pinang, Kuching di Sarawak, Kota Kinabalu di Sabah dan Pulau Langkawi di Kedah sepanjang tahun ini.

"Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan tetapi juga menangani isu-isu seperti integriti di kaunter manual. Kami juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan sokongan bagi melaksanakan lebih banyak pembaharuan," jelasnya.

Saifuddin Nasution turut menekankan kepentingan imej negara di pintu masuk utama, terutamanya pada tahun ini iaitu tahun Kepengerusian ASEAN dan sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Malaysia akan menjadi tuan rumah lebih 400 mesyuarat ASEAN sepanjang tahun ini, melibatkan delegasi peringkat pegawai kanan, menteri, dan ketua negara. Justeru, pintu masuk negara perlu mencerminkan imej yang profesional dan mesra," katanya.

Dengan inovasi terkini ini, Saifuddin Nasution optimis bahawa pengalaman pelancong dan pengguna tempatan di pintu masuk negara akan bertambah baik serta meningkatkan keyakinan terhadap perkhidmatan awam Malaysia.

-- BERNAMA