BENTONG: Bedah siasat ke atas jurutera warga Indonesia yang maut dalam insiden helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di sini pagi semalam, telah selesai hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata perincian keputusan bedah siasat itu dan maklumat lain berhubung perkembangan siasatan nahas akan dimaklumkan kemudian.

"Bedah siasat di Hospital Bentong baru saja selesai pada 3 petang tadi. Saya masih mengumpulkan maklumat berkaitan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan di Hospital Bentong pada petang ini mendapati beberapa individu dipercayai wakil daripada syarikat tempat mangsa bekerja sedang menunggu bagi mendapatkan keputusan bedah siasat.

Wakil syarikat berkenaan bagaimanapun enggan ditemu bual.

Mangsa, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut akibat libasan bilah kipas helikopter yang terbalik sebelum terbakar di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur di sini.

Sementara itu, tinjauan Bernama turut mendapati bangkai helikopter tersebut masih berada di lokasi kejadian setakat petang ini dengan beberapa kenderaan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pengangkutan turut kelihatan.

Media turut melihat kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian dipercayai dilakukan oleh syarikat pemilik helikopter berkenaan.

- BERNAMA