Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata sebutan kes di bawah pertuduhan Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 itu, di Mahkamah Majistret Alor Gajah.
Beliau berkata selain itu, pihaknya juga memohon untuk melucut hak treler semi tangki yang membawa muatan serbuk simen di bawah Seksyen 80(4) APAD 2010.
"Kita telah menyerahkan saman bagi tindakan mahkamah kepada pemilik syarikat lori dari Johor itu pada 7 Feb dan tarikh sebutan kes berkenaan ditetapkan pada 4 Mac.
"Pertuduhan dibuat atas kesalahan lebih muatan iaitu lebihan 16,250 kilogram atau 31 peratus had muatan yang dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ) berhampiran Melaka Sentral, di sini malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.
Siasatan awal mendapati bas persiaran tersebut terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah yang menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.
Kejadian itu menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas serta penumpangnya meninggal dunia.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)