Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata pengusaha syarikat lori itu telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Kertas siasatan terhadap syarikat lori dari Johor yang disyaki menjadi punca kemalangan itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya awal minggu ini untuk tindakan selanjutnya.
"Namun kita masih menanti keputusan pihak Timbalan Pendakwa Raya dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita di Batu Berendam di sini malam tadi.
Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu Khas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Media sebelum ini melaporkan tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara, baru-baru ini.
Siasatan awal mendapati bas persiaran tersebut terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.
Kejadian itu menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas serta penumpangnya meninggal dunia.
-- BERNAMA