Bekas perdana menteri itu turut mengakui pernah mendapat peringatan daripada Pengerusi Kumpulan The Edge Media Tan Sri Tong Kooi Ong yang memaklumkan kepadanya bahawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho telah menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Najib bersetuju bahawa Tong, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-43 dalam perbicaraan kesnya (Najib) pernah menyuarakan kebimbangan dan perasaan curiga terhadap Jho Low dalam satu pertemuan di kediaman Najib pada 6 Mac 2015.
Pada prosiding sebelum ini, Tong berkata semasa pertemuan itu, beliau mengesyorkan agar Najib mendakwa Jho Low kerana wang sebanyak AS$700 juta milik 1MDB telah dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat milik Jho Low.
Mohamad Mustaffa: Datuk Seri setuju, peringatan daripada Tan Sri Tong ini menambah lagi rasa curiga dan membuatkan Datuk Seri tidak selesa (dengan Jho Low).
Najib: Setuju.
Mohamad Mustaffa: Pada 2015, kecurigaan terhadap Jho Low memuncak namun masih tiada sebarang tindakan diambil ke atasnya.
Najib: Ketika itu saya menunggu laporan siasatan (berkenaan 1MDB daripada agensi-agensi berkaitan), tetapi tak ada pun.
Najib turut ditanya mengenai tindakan beliau yang tidak cuba untuk menjauhkan diri dan tidak berhubungan dengan Jho Low memandangkan tindak-tanduk lelaki tersebut ketika itu telah dicurigai.
Mohamad Mustaffa mencadangkan dengan tidak menghindari Jho Low, Najib telah melanggar Perkara 8 Kod Etika Anggota-Anggota Pentadbiran 1997 yang antaranya menyatakan anggota pentadbiran dan ahli parlimen hendaklah sentiasa mengesan pengurusan kewangan pertubuhan-pertubuhan yang mereka pimpin supaya tidak berlaku salah laku yang boleh meletakkan kerajaan dalam keadaan serba salah.
Bagaimanapun, Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu dan berkata beliau tetap menggunakan bantuan Jho Low kerana beliau mempunyai matlamat untuk dicapai demi kepentingan negara.
Sementara itu, Najib berkata beliau percaya Jho Low mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi kerana terdapat satu insiden Jho Low memberitahunya bahawa beliau (Najib) kemungkinan akan menerima darjat tertinggi daripada Almarhum Raja Abdullah selepas lawatan rasmi selama empat hari pada 2010.
Mohamad Mustaffa berkata hal ini menunjukkan Najib bergantung kepada maklumat yang disampaikan oleh lelaki itu.
Najib menjelaskan Jho Low tidak berperanan dalam penganugerahan itu tetapi mendapat maklumat daripada anak Raja Abdullah yang dikenali sebagai Putera Turki.
"Saya ada dengar saya akan menerima anugerah itu tetapi saya tak dapat pengesahan daripada duta kita di sana (Arab Saudi). Jho Low tahu kerana dia ada hubungan istimewa dengan keluarga diraja dan penganugerahan tersebut memang berlaku," katanya.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung 20 Jan ini.
-- BERNAMA