KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pengarah bayangan SRC International Sdn Bhd dan terlibat secara peribadi dan langsung dalam pemberian cek bernilai RM16 juta dan RM3.5 juta kepada UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili SRC dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd ketika membaca pernyataan pembuka berkata wang yang diterima oleh defendan (UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Selangor) adalah menerusi cek yang dikeluarkan oleh Jendela Pinggiran.

Beliau berkata pengarah dan penandatangan yang diberi kuasa oleh Jendela Pinggiran mengeluarkan cek kosong, suatu kebebasan penuh kepada Najib, yang kemudiannya menyerahkan cek itu (dan mengisi butiran mengenai penerima dan jumlah) kepada defendan.

"Bukti akan menunjukkan bahawa sememangnya Datuk Seri Najib ialah pengarah bayangan SRC dan pengetahuannya mengenai sumber dana dan bagaimana ia digunakan atau pastinya, penyalahgunaan dipertanggungjawabkan ke atas defendan. Bukti juga akan menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib memakai 'dua topi' (memainkan dua peranan) dalam situasi kes ini.

"Pada satu belah, Najib ialah Penasihat Emeritus (pengarah bayangan) SRC, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran. Beliau juga presiden defendan (UMNO dan UMNO Selangor)," katanya pada hari pertama perbicaraan saman SRC dan dua anak syarikatnya terhadap UMNO dan UMNO Selangor yang difailkan pada Mei 2021 di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Dalam saman terhadap UMNO, plaintif menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dan mendakwa UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Saman kedua pula melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Badan Perhubungan UMNO Selangor yang turut didakwa menerima dana itu secara salah.

Razlan Hadri berkata wang tersebut disalurkan daripada pinjaman Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang diluluskan pada 2011 dan 2012 berjumlah RM4 bilion kepada SRC.

"Daripada RM4 bilion diterima daripada pinjaman KWAP, RM3.6 bilion dipindahkan kepada anak syarikat asing SRC ditubuhkan di British Virgin Islands, iaitu SRC International (Malaysia) Ltd pada 2011 dan 2012 bagi SRC menjalankan aktiviti pelaburan asing dalam sektor tenaga dan sumber.

"Baki RM400 juta disimpan oleh SRC di Malaysia bagi keperluan modal kerja di Malaysia. Kes hari ini adalah berkaitan modal kerja RM400 juta itu," katanya.

Saksi pertama perbicaraan ialah Timbalan Pengurus Besar di Prokhas Sdn Bhd Saiful Nizam Yassin, 54, yang juga setiausaha syarikat SRC, Jendela Pinggiran dan Gandingan Mentari pada masa berkenaan.

Perbicaraan bersambung esok.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili UMNO manakala Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican Hasnal Rezua mewakili UMNO Selangor.

Terdahulu, Razlan Hadri memaklumkan mahkamah bahawa plaintif dan defendan gagal mencapai penyelesaian secara baik dan saman akan diteruskan dengan perbicaraan.

-- BERNAMA