Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari berkata perbuatan menggunakan logo persatuan dan logo Diesel Subsidi Nelayan oleh pihak tidak bertanggungjawab ialah satu penipuan dan penyalahgunaan yang boleh menjejaskan imej serta maruah persatuan.
"Nekmat memandang serius insiden penyelewengan minyak diesel subsidi menggunakan logo berkenaan tanpa kebenaran dalam satu operasi sindiket yang telah ditangkap dan disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Terengganu.
"Persatuan ingin menegaskan bahawa kami tidak terlibat sama sekali dalam sebarang aktiviti haram seperti yang dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Hamid berkata pihaknya menyokong penuh tindakan tegas KPDN dalam menangani isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan Nekmat komited untuk memastikan bekalan minyak diesel subsidi nelayan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan nelayan berdaftar dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
Persatuan itu juga katanya, masih menunggu hasil siasatan terperinci daripada KPDN dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan penglibatan pihak luar.
Beliau berkata pada masa sama, Nekmat menggesa semua pihak untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh merosakkan industri perikanan negara dan menjejaskan kebajikan nelayan.
"Nekmat akan terus memantau situasi ini dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut sekiranya diperlukan," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)