IPOH: Seorang nelayan yang dipercayai terjatuh dari bot semasa keluar bekerja di kawasan perairan Kuala Sangga dekat Kuala Sepetang, Taiping semalam, ditemukan lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Aziz Bakar, 50, kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi, dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada pagi ini.

"Mangsa disedari hilang pada pukul 4.30 petang selepas rakan mangsa menjumpai bot yang hanyut di tepi tebing kawasan perairan itu dan rakan mangsa cuba membuat pencarian sehingga petang semalam.

"Selepas gagal menemui mangsa, satu laporan polis dibuat malam semalam dan keluarganya juga memaklumkan mangsa mempunyai penyakit tekanan darah rendah dan sering pitam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarozi berkata susulan itu ketua operasi bomba menjalankan tindakan operasi dengan membuat size up dan mengarahkan untuk membuka Pusat Kawalan Bomba (PKB) di jeti yang berhampiran.

"Selepas itu, pihak bomba menerima maklumat daripada sekumpulan nelayan berhubung penemuan mayat mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian iaitu kira-kira 50 meter.

"Ketua operasi bomba bersama anggota menaiki bot nelayan berkenaan untuk ke lokasi kejadian bagi membuat pengesahan dan mengambil mayat," katanya.

Sabarozi berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA