KUALA LANGAT: Jumlah sitaan keseluruhan daripada operasi berkaitan sindiket e-waste kini sudah mencecah nilai RM3.9 bilion, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Jumlah sitaan operasi sindiket e-waste kini mencecah RM3.9 bilion, termasuk 40 tan peluru hidup dan jongkong timah.
  • Siasatan PDRM melibatkan aspek keselamatan negara dan peluru yang ditemui akan diperiksa untuk tarikh luput dan kegunaan.
  • Serbuan besar-besaran dilakukan di 46 lokasi, dan siasatan mendapati barang-barang tersebut masuk melalui kontena 40 kaki.


Beliau berkata, siasatan Polis Diraja Malaysia kini bukan hanya tertumpu kepada penemuan peluru, tetapi juga aspek keselamatan negara, kerana jumlah yang ditemui adalah terlalu besar, iaitu 40 tan peluru hidup, kelongsong peluru, serta jongkong timah.

Tambahnya lagi, serbuan secara besar-besaran pada 14 Feb dilakukan di 46 lokasi berasingan, dan maklumat risikan mengesahkan bahawa masih ada lagi premis yang beroperasi seperti ini dan kini berada dalam radar pihak berkuasa.

“Jadi siasatan tengok semua (aspek) sebab peluru jumlahnya besar jadi kita tengok semua angle, peluru itu ada tarikh luput ke, masih boleh gunakan sesuai atau tidak, kita biar polis sahaja lengkapkan siasatan.

“Maknanya bukan hanya dari segi sudut memproses sisa, yang memang sudah menyalahi sebab ianya berpunca daripada luar negara tapi penemuan peluru itu sendiri dalam jumlah yang begitu besar. Juga akan tengok dari perspektif keselamatan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai meninjau lokasi serbuan di Teluk Panglima Garang susulan  Penemuan Sisa Amunisi Semasa Ops Bersepadu Hazard Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), di sini pada Khamis.

Setakat 25 Februari lepas, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk bersama 17 individu lain direman enam hari, membantu siasatan atas dakwaan menyogok penguat kuasa berkaitan kes memproses dan melupus sisa elektronik (e-waste) yang tidak dibenarkan.

Namun masih belum ada sebarang pendakwaan direkodkan sehingga hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, pihak Kementerian dalam proses memasukkan jenayah alam sekitar untuk didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Beliau berkata, tindakan tegas itu boleh diambil selepas penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendakwa penjenayah alam sekitar.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati barang-barang tersebut dipercayai masuk ke negara ini melalui kontena berukuran 40 kaki.

“Jadi tentulah kita akan tengok punca kemasukannya seperti di pelabuhan mana, melalui proses penghantaran sebagainya, kita akan semak semua dokumen manifestonya, senarai inventorinya,” katanya lagi.

Selain itu Saifuddin tidak menolak kemungkinan terdapat kumpulan penjenayah yang menjaga rangkaian operasi pemprosesan e-waste tersebut.

“Saya tidak menolak kemungkinan, sebab itu memang dalam pemerhatian pihak polis untuk buat siasatan kalau membabitkan elemen jenayah, elemen keselamatan … itu forte pasukan polis.

“Sebab itu walaupun kami bermula dengan siasatan di bawah Akta Senjata Api, tetapi kami tidak menolak kemungkinan as we go deeper into the investigation. We might find something interesting here,” katanya lagi.