Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu dibincangkan susulan reaksi positif daripada masyarakat setempat menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
"Saya berbincang mungkin kita boleh tengok tanah-tanah di bawah JKPTG, tanah persekutuan yang belum dibangunkan sekolah dan sebagainya. Mungkin buat masa ni kita boleh tengok option (pilihan) untuk dibuat kebun ataupun beberapa alternatif lain untuk memberi kemudahan kepada orang ramai.
"Ini inisiatif yang sangat diperlukan, khususnya di kawasan Kuala Lumpur termasuk Parlimen Setiawangsa, kebanyakan perumahan di sini bersifat strata, tidak ada tanah untuk diusahakan. Jadi, ini boleh mendapatkan akses kepada tanah-tanah terbiar atau tanah kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Projek Kebun Bandar serta Projek Kedai Buku dan Alat Tulis Perbadanan Pengurusan Embun Emas di Dewan Khidmat Masyarakat Kelumpuk Embun Emas di Setiawangsa hari ini.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata Program SejaTi MADANI ialah satu konsep bottom-up yang terhasil daripada permintaan masyarakat.
"Kita beri peruntukan yang bersifat mikro tetapi mampu memberi impak langsung. Saya sebagai menteri dan wakil rakyat akan bantu menerapkan nilai kelestarian dalam kebun ini untuk dikembangkan lagi.
"Di Parlimen saya, porgram ini sangat positif ... kita juga ada satu kebun bandar di kawasan Setapak Permai. Selain penduduk, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), kita juga dapat kerjasama pihak (bank) yang turut membantu menyokong dan mengembangkan program sebegini," katanya.
Progam SejaTi MADANI ialah inisiatif baharu kerajaan bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)