Tertuduh, Muhammad Faiz Zaini, 37, pemegang kad OKU mental membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama, dia yang juga jurulatih badminton didakwa menyentuh mangsa dengan cara menyentuh kemaluan, mencium pipi dan meraba bahagian badan mangsa bagi maksud seksual.
Duda dua anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik sebuah rumah di Taman Seri Rapat, Ipoh kira-kira jam 7.15 malam, 20 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyentuh mangsa sama dengan cara meraba dada mangsa bagi maksud seksual, di tempat sama kira-kira jam 2.30 pagi, 21 Januari lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan paling minima kerana berpendapatan RM1,150 sebulan, termasuk RM450 bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan terpaksa menanggung ibu bapa serta adik OKU di samping RM500 nafkah dua anaknya.
Menurutnya, dia telah menjalani tiga kali rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta dan tidak makan ubat sejak ditahan di Penjara Taiping, lebih sebulan lalu.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh dihantar untuk jalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta dan akan membuat keputusan mengenai jaminan selepas mendapat laporan kesihatan tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)