KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Op Bersepadu selama enam hari bermula 28 Januari hingga 2 Februari ini bagi memastikan perjalanan pengguna jalan raya lancar sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata operasi ini melibatkan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). 

"Sebagai langkah untuk mengurangkan risiko kemalangan, had laju di semua Jalan Persekutuan akan diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j sepanjang tempoh operasi ini.

"Kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal juga akan dihentikan sementara waktu agar tidak menjejaskan aliran trafik.

"Selain itu, kerja-kerja pelebaran lorong di jajaran Senai-Kulai turut dihentikan sementara bermula 23 Januari hingga 3 Februari,"katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya, Alexander menyeru agar semua pengguna membuat persediaan sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan.

"Antaranya termasuk mendapat rehat yang mencukupi dan menjaga kesihatan bagi mengelakkan keletihan melampau semasa memandu," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk memastikan kad debit, RFID, dan Touch 'n Go mempunyai baki mencukupi bagi mengelakkan gangguan di plaza tol.

"Selain itu, pemeriksaan rapi terhadap kondisi kenderaan, termasuk tayar, perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan jauh," katanya.

Beliau juga mengingatkan pemandu agar sentiasa memandu secara berhemah, bersabar, dan mematuhi undang-undang jalan raya. 

Dalam kenyataan itu, Menteri Kerja Raya turut menyeru semua pengguna jalan raya agar bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri, penumpang, serta pengguna jalan raya yang lain.

"Pengguna juga perlu saling menganggap antara satu sama lain sebagai ahli keluarga besar Malaysia MADANI. 

Beliau turut mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikan Tahun Baru Cina sambil berharap semangat perpaduan dan keharmonian akan terus subur di Malaysia.

Beliau juga menyatakan harapan agar masyarakat sentiasa meraikan kepelbagaian budaya dengan menanam rasa hormat, kasih sayang dan nilai perpaduan dalam sanubari.