Ringkasan AI
- SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung skandal penyelewengan dana awam melibatkan projek pelombongan di Sabah dan mengemukakannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
- SPRM dan PDRM telah berkongsi maklumat dan kes melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah serta pemberi maklumat telah selesai, menunggu keputusan AGC.
- Siasatan kedua melibatkan lapan ADUN sedang dilengkapkan oleh SPRM dan dijangka selesai pada hujung bulan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.
Azam berkata, SPRM juga telah berkongsi maklumat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan beliau difahamkan pihak polis juga telah mengemukakan kertas siasatan dan syor kepada ACG.
“(Kes ini) melibatkan (dikatakan) ADUN Sabah dan pemberi maklumat (whistleblower). Kita buka kertas siasatan pertama, melibatkan whistleblower dengan bekas pegawai kerajaan dari Sabah, berkaitan jabatan mineral di Sabah.
“Pihak SPRM dan PDRM Sabah, kami saling bertukar maklumat dan kes berkenaan telah selesai. Bagi kes berkenaan melibatkan dua individu ini, kita telah kemukakan kepada DPP, dan saya faham PDRM sudah kemuka kepada DPP.
“Dan terpulang kepada AGC untuk koordinasi sekiranya ada apa-apa keputusan sama ada dituduh atau tidak,” katanya kepada sidang media di Putrajaya, pada Selasa.
Baru-baru ini sebuah portal telah menyiarkan beberapa siri video yang didakwa diperolehi daripada seorang pemberi maklumat berkenaan wujudnya unsur rasuah dalam pengeluaran lesen penerokaan perlombongan.
Menurut portal tersebut, pemberi maklumat yang merupakan seorang ahli perniagaan, dan mendakwa dia telah menyogok beberapa ADUN berkenaan untuk mendapatkan lesen tersebut.
Dalam pada itu Azam berkata, siasatan kedua melibatkan lapan orang ADUN, namun, pihak AGC telah mengembalikan kertas siasatan kepada SPRM, dan mereka akan cuba melengkapkannya pada hujung bulan ini.
“Saya jamin, pada bulan Februari, saya sendiri akan maklumkan perkembangan terbaru,” katanya lagi.