Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata kesalahan paling banyak direkodkan ialah tidak mematuhi lampu isyarat dengan 127 notis, diikuti memandu di lorong kecemasan (66), memandu di lorong kanan secara berterusan (39), tidak memakai topi keledar (35) dan menggunakan telefon bimbit (21).
Turut direkodkan kesalahan tiada lesen memandu (enam notis) dan cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans iaitu sebanyak empat notis.
Ahmad Kamarunzaman berkata Op Penyamaran yang dilaksanakan sepanjang masa itu menggunakan kenderaan tidak berlogo selain anggota serta pegawai JPJ yang bertugas tidak mengenakan pakaian seragam semasa melakukan penyamaran.
"Apabila ada kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan kita akan tahan untuk pemeriksaan dan mengeluarkan kompaun," katanya.
Beliau berkata operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya sedar bahawa JPJ sentiasa melakukan pemantauan setiap masa di semua lokasi sekitar Selangor.
Dalam operasi khas itu juga, beliau berkata JPJ turut memfokuskan objektif strategik penguatkuasaan iaitu memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam selain kesalahan berjadual.
"Tujuan operasi itu juga bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Maka kita tidak akan berkompromi dengan pengguna yang dikesan melakukan tujuh kesalahan berjadual," katanya.
Ahmad Kamarunzaman turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta merancang perjalanan selain rehat yang mencukupi.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)