Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, seramai 39 keterangan saksi terbabit sudah dirakam keterangan.
“Dalam tempoh terdekat ini, kita akan memanggil lagi kira-kira 18 individu yang telah dikenal pasti untuk dirakam keterangan.
“Setakat ini, siasatan masih lagi berjalan dan kita masih memerlukan masa untuk melengkapkannya secara keseluruhan,” katanya pada Ahad.
Tambah Azam, SPRM juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak bank untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan pinjaman oleh pelanggan yang dikenal pasti.
Januari lalu, SPRM menerusi Op Sky berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Op Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Berikutan itu, sebanyak 4,000 dokumen juga telah dirampas bagi membantu siasatan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
Pegawai terbabit dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan ingin membuat pinjaman peribadi.
Terbaharu, Azam juga mengesahkan kehadiran tiga selebriti di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada Khamis lepas, bagi membantu siasatan kes Op Sky ini. -- Sinar Harian