KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 4,000 dokumen bagi membantu siasatan sindiket selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ini selepas kejayaan SPRM menerusi pembongkaran kegiatan sindiket itu di 24 buah lokasi termasuk rumah dan pejabat dan tangkapan 12 individu di sekitar Lembah Klang pada Isnin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dijangka 16 individu membabitkan pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil bagi membantu siasatan serta berkemungkinan ditahan.

"Setakat hari ini, sebanyak 4,000 dokumen sudah dirampas dan dalam proses siasatan.

“Pegawai bank yang ditahan terdiri dari pelbagai jawatan dan sudah bekerja antara lima hingga 20 tahun," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, pegawai yang menguruskan pinjaman akan menerima 0.5 peratus sehingga satu peratus daripada nilai pinjaman dan ada sesetengah kes pegawai bank akan menerima RM5,000 bagi satu kes pinjaman.

Tambahnya, SPRM sedang menyenaraikan peminjam-peminjam dan mereka akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan 12 individu yang ditahan antaranya melibatkan dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan.

Dalam serbuan Op Sky itu, SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta selain sitaan sembilan unit kenderaan pelbagai jenama terdiri daripada Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda serta Honda.

Operasi dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyita wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD) 95,000 serta 17 utas jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta.

Sejak 2020, syarikat perunding mendapat keuntungan yang diperoleh daripada yuran perkhidmatan, yuran penyelesaian hutang lapuk dan skim pelaburan daripada peminjam yang dibuat melalui pembiayaan peribadi pelbagai bank secara serentak.

Syarikat tersebut dipercayai akan membantu menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu, seterusnya akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.

Siasatan SPRM juga mengesan syarikat menggunakan hasil haram itu untuk membeli aset, hartanah dan kenderaan mewah untuk kepentingan peribadi. -- Sinar Harian