PUTRAJAYA: Enam lagi individu melibatkan pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan, direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukakan sebuah syarikat perunding kewangan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan perintah reman terhadap empat lelaki dan dua wanita itu, dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, keenam-enam suspek berumur antara 20 hingga 40-an telah ditahan antara pukul 3 hingga 4 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM berhubung Op Sky.

"SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

"Pegawai-pegawai ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen, dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi," menurut sumber itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap enam lagi supek berkenaan.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan memaklumkan bahawa 19 individu yang sebelum ini ditahan reman telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA