Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil lima hingga 10 saksi lagi untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata saksi-saksi yang terdiri daripada pegawai bank, pekerja syarikat perunding kewangan, peminjam baharu dan individu daripada sebuah pertubuhan akan dipanggil secara berperingkat pada minggu ini dan minggu depan.
"Keterangan mereka ini penting untuk dirakam, pertamanya daripada pegawai bank untuk menjelaskan beberapa prosedur yang masih kita perlu memperkemas dan ketahui.
"Ada juga peminjam-peminjam baharu yang pegawai bank perlu mengesahkan permohonan pinjaman mereka dan individu daripada pertubuhan itu hanya mengesahkan beberapa transaksi," katanya kepada pemberita selepas rakaman program Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita RTM, di sini hari ini.
Dalam operasi Januari lepas, SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang dan merampas kira-kira 4,000 dokumen serta membekukan 98 akaun bank melibatkan lebih RM17 juta.
Dalam kes berasingan, Azam berkata SPRM baru sahaja selesai merakam keterangan lima saksi termasuk seorang ahli politik dari Sabah berhubung siasatan dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.
Beliau berkata lima individu itu dipanggil susulan isu baharu mengenai siasatan berkenaan yang ditimbulkan di sebuah portal dan SPRM Sabah sedang meneliti rakaman keterangan itu.
Azam menjelaskan siasatan dakwaan skandal rasuah itu dibuat berdasarkan video yang dikeluarkan sebuah portal serta di media sosial dan sehingga ke hari ini pemberi maklumat yang mendedahkan video itu masih belum berkongsi sebarang bukti dengan SPRM.
"Video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM. Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti," katanya.
Beliau berkata SPRM tidak bercadang memanggil portal yang menyiarkan video terbabit untuk mengetahui bagaimana ia diperoleh kerana menghormati kebebasan portal itu untuk membuat laporan.
Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN berkenaan didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.
-- BERNAMA
