PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.


Ringkasan AI
  • SPRM telah membekukan 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta. Seramai 21 individu telah ditahan di bawah Op Sky, termasuk lapan pengarah dan kakitangan syarikat, 12 pegawai bank, dan seorang ejen awam.
  • Dalam serbuan Op Sky, SPRM membekukan 70 akaun tambahan bernilai lebih RM16.2 juta dan menyita sembilan kenderaan mewah serta wang tunai lebih RM300,000. Operasi ini dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
  • Syarikat perunding kewangan tersebut dipercayai memperoleh keuntungan melalui yuran perkhidmatan, penyelesaian hutang lapuk, dan skim pelaburan. Mereka juga didakwa menyediakan dokumen palsu untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan.


Dalam satu sidang media khas di Putrajaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, seramai 21 individu sudah ditahan di bawah Op Sky bagi membantu siasatan, selain lapan pengarah dan kakitangan sebuah syarikat, 12 pegawai bank, dan seorang orang awam yang berperanan sebagai ejen.

“Berhubung perkembangan siasatan Op Sky, SPRM memandang serius isu pinjaman dan juga isu melibatkan penyelewengan syarikat swasta, kononnya bertindak sebagai financial consultant.

“Akan ada lagi tangkapan susulan berkaitan dengan perkara ini,” katanya kepada sidang media, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Sebelum ini, media melaporkan 12 individu telah ditahan SPRM, antaranya dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus, dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan.

Dalam serbuan Op Sky itu, SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta selain menyita sembilan unit kenderaan pelbagai jenama terdiri daripada Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda, serta Honda.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyita wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD) 95,000 serta 17 utas jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta.

Media melaporkan syarikat perunding memperoleh keuntungan daripada yuran perkhidmatan, yuran penyelesaian hutang lapuk dan skim pelaburan daripada peminjam yang dibuat melalui pembiayaan peribadi pelbagai bank secara serentak.

Syarikat tersebut dipercayai akan membantu menyediakan dokumen palsu, sebelum menghantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.