Menurut sumber, syarikat kewangan terbabit juga meminta individu yang menyertai skim pembiayaan untuk membuat hantaran di media sosial peribadi mereka, bagi tujuan menarik minat rakan lain untuk menyertai skim ditawarkan.
"Melalui siasatan, terdapat usaha syarikat kewangan berkenaan menawarkan ganjaran berbentuk komisen kepada individu yang memperkenalkan pelanggan baharu kepada pihak syarikat dan mempromosikan perkhidmatan syarikat berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan jika terdapat syarikat kewangan lain yang menggunakan modus operandi sama, dengan memanipulasi proses kelulusan permohonan pinjaman bank.
"Bagaimanapun, buat masa sekarang SPRM hanya menumpukan siasatan kepada syarikat ini sahaja," katanya.
Mengulas mengenai artis dan selebriti yang telah mempromosikan perkhidmatan syarikat perunding kewangan itu, Azam berkata pihaknya telah mengenal pasti tiga artis yang menjadi duta syarikat berkenaan pada 2023 dan 2024, dan akan mengambil keterangan mereka dalam masa terdekat.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen, manakala 98 akaun bank telah dibekukan bernilai RM17,403,644.
-- BERNAMA