Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata setakat 23 Jan lepas, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah berkaitan lesen kenderaan iaitu sebanyak 460 kes, diikuti lesen memandu (298 kes) dan kesalahan teknikal (154 kes).
"Manakala lain-lain kesalahan adalah sebanyak 135 kes, sembilan kesalahan utama (42 kes), lebih muatan (36 kes) dan muatan bahaya (10 kes).
"Dalam tempoh itu juga, JPJ Melaka memeriksa sebanyak 8,451 kenderaan termasuk menyita 15 kenderaan iaitu lapan melibatkan pemandu warga asing (PeWA) dan tujuh warganegara," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Terdahulu, beliau turun padang pada pemeriksaan bas ekspres di terminal Melaka Sentral yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata sepanjang tempoh operasi TBC 2025, sebanyak 120 anggota dan pegawai JPJ pelbagai peringkat telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya di negeri ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan meletakkan anggota di beberapa kawasan tumpuan iaitu di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dan Kandang.
"Sempena Tahun Baru Cina 2025, JPJ Melaka juga mempergiatkan aktiviti-aktiviti kesedaran pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan khususnya dalam negeri ini.
"Menjelang perayaan Tahun Baru Cina, aliran trafik di jalan raya terutamanya pintu masuk dan keluar akan mula menunjukkan peningkatan, justeru pesanan saya kepada semua pengguna jalan raya, utamakan keselamatan dan patuhi undang-undang jalan raya," katanya.
-- BERNAMA