KUALA LUMPUR: Pemantauan Ops Catut Back to School 2025 di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 yang bermula dari 1 sehingga 16 Februari bertujuan memantau serta mendapatkan maklumat penjualan dan kos belian barangan pakaian sekolah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, antara kategori barangan yang diperiksa adalah baju kurung dan pinafore, baju kemeja lengan pendek serta panjang, seluar panjang, stoking dan kasut sekolah.

"Sepanjang perlaksanaan Ops ini di negeri Sabah, sehingga 15 Februari, sebanyak 19 buah premis telah diperiksa dengan pengeluaran sebanyak 19 notis melibatkan 95 sku barangan.

"Ini menunjukan keperihatinan kerajaan di dalam memastikan dan memantau aktiviti pencatutan atau kenaikan harga selaras dengan perundangan pencatutan di bawah AKHAP 2011," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Terdahulu, beliau bersama pegawai penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mengadakan tinjauan ke Hypemarket Servay di daerah Putatan bagi melihat barangan kelengkapan sekolah.

Dalam pada itu, Fuziah menjelaskan, beliau turut mengadakan tinjauan ke kilang pembungkus minyak masak di bandar Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Ops Kesan 3.0.

Katanya, tinjauan tu merupakan satu inisiatif strategik bagi memastikan kelancaran pengedaran minyak masak bersubsidi dan mencegah ketirisan.

"Tinjauan ini untuk melihat proses pembungkusan minyak masak bersubsidi bagi memastikan peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak KPDN dipatuhi," ujarnya.

Kata Fuziah lagi, penerangan juga diberikan kepadanya berkaitan cabaran serta langkah-langkah penambahbaikan yang boleh diambil bagi meningkatkan kecekapan pengedaran.

"Pada masa yang sama, KPDN akan terus mempergiat pemantauan di seluruh rantaian bekalan minyak masak bersubsidi bagi memastikan setiapliter minyak masak sampai kepada pengguna yang berhak.

"Oleh yang demikian, kerjasama strategik antara pihak kerajaan, pengilang, pembekal,dan pengguna dalam usaha mencegah ketirisan dan penyelewengan sangat diberi perhatian.

"Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kesejahteraan rakyat. Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan penyalahgunaan minyak masak bersubsidi," katanya.