SEPANG : Sebanyak 116 aduan diterima sepanjang Ops Pantau dijalankan, dengan Perak mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 10 kes, diikuti oleh Selangor dengan empat kes.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, nilai rampasan dianggarkan sekitar RM900, manakala jumlah kompaun yang dikenakan mencecah RM6,600.

“Kes paling tinggi adalah di Perak. Jadi, bilangan kompaun paling tinggi juga di Perak," katanya semasa Majlis Pelancaran Bazar RAHMAH (BRR) Peringkat Kebangsaan 2025 di Bazar Ramadan KIPMALL Kota Warisan, Sepang pada Selasa.

Beliau juga menambah, sepanjang operasi ini dijalankan, sebanyak 3,275 pemeriksaan telah dilakukan.

Operasi ini melibatkan pemantauan di bazar Ramadan, pasar, pasar raya, kedai runcit serta pemeriksaan terhadap alat penimbang.

Jelasnya, tindakan ini bertujuan mengawal kenaikan harga barang, mencegah kesalahan seperti kegagalan meletakkan tanda harga, serta memastikan alat penimbang berada dalam keadaan tepat.

Katanya lagi, langkah ini juga diambil bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dan melindungi hak pengguna sepanjang bulan Ramadan.